PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) percaya perubahan 'mood' rakyat yang semakin baik, termasuk selepas pengumuman Belanjawan 2027 mampu membantu gabungan itu mencatat kemenangan pada PRN Melaka, 14 Nov depan.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata keadaan itu mungkin menafikan ramalan penganalisis politik Ong Kian Ming, yang juga bekas Ahli Parlimen DAP, bahawa PH berdepan risiko kalah besar kepada Barisan Nasional (BN).
Faiz berkata, PH masih berpeluang kembali mentadbir Melaka kerana sokongan rakyat terhadap gabungan itu semakin baik berbanding ketika PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, beberapa pengumuman dalam Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, termasuk bantuan kepada rakyat, boleh menjadi antara faktor yang mempengaruhi sentimen pengundi.
PH juga, katanya, akan mempertaruhkan rekod pentadbirannya di Melaka selepas PRU14 sebagai bukti keupayaan gabungan itu mentadbir negeri berkenaan.
“Mood rakyat di Melaka berbeza dengan apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan. Ketika dua PRN itu, rakyat khususnya orang Melayu ditakutkan dengan sentimen Melayu yang dimainkan Umno dan PAS.
“Berdasarkan perkembangan politik mutakhir ini, saya yakin mood rakyat berubah dan mereka kembali yakin dengan PH,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, Ong berkata BN dijangka dapat mempertahankan 21 kerusi dimenangi pada PRN Melaka 2021 dan menambah tiga hingga empat lagi DUN.
Ong turut menjangkakan BN merampas Bukit Katil disandang Naib Presiden Amanah Adly Zahari serta Ayer Keroh, yang dianggap kubu kuat DAP.
Mengulas lanjut, Faiz berkata usaha kerajaan pimpinan Anwar memulihkan ekonomi serta pengumuman dalam Belanjawan 2027 akan menjadi antara kayu pengukur rakyat dalam menilai PH.
“Ditambah pula dengan rekod baik PH mentadbir Melaka selepas PRU14,” katanya.
Beliau turut mendakwa, hubungan Umno dan PAS semakin longgar susulan kritikan perwakilan PAS pada muktamar parti itu baru-baru ini berhubung isu pembahagian kerusi.
Menurut Faiz, perkembangan itu boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kerjasama kedua-dua parti berkenaan.
“Rakyat Melaka semakin sedar kerjasama mereka bukan untuk menyelamatkan orang Melayu, tetapi lebih kepada perebutan kuasa,” dakwanya.
Beliau turut mengaitkan perkembangan krisis diraja di Negeri Sembilan dengan keadaan dalam Umno, selain mendakwa kemelut berkenaan menjejaskan pentadbiran negeri itu.
"Pendedahan isu rasuah membabitkan Tabung Haji dan Felda yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin Umno boleh memberi kelebihan kepada PH untuk kembali menjadi pilihan pengundi," katanya.
