MACHANG: Depot imigresen negara berdepan tekanan kapasiti susulan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin yang dilaksanakan setiap hari, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kapasiti keseluruhan depot imigresen adalah kira-kira 20,000 orang, namun kemasukan individu yang ditahan menerusi operasi berterusan menyebabkan kemudahan berkenaan berdepan kesesakan.
“Hasil operasi berterusan itu, Jabatan Imigresen membangunkan pemetaan kawasan tumpuan warga asing berdasarkan pengumpulan dan analisis data bagi mengenal pasti lokasi mereka tinggal, menginap atau berkumpul.
"Individu yang ditahan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan, menggunakan pas yang telah tamat tempoh, menyalahgunakan pas yang dikeluarkan atau individu berstatus pelarian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Saifuddin berkata tindakan terhadap setiap kategori perlu mengambil kira status dan kedudukan undang-undang masing-masing, dengan operasi turut melibatkan agensi penguatkuasaan lain serta pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, beliau berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dikenal pasti sebagai empat negeri yang mencatatkan kadar penglibatan dalam kes dadah melebihi ambang nasional berdasarkan kadar bagi setiap 100,000 penduduk.
Beliau berkata penilaian itu dibuat berdasarkan data daripada empat sumber dengan menggunakan kaedah pengiraan yang merujuk kepada piawaian antarabangsa.
“Pendang di Kedah mencatatkan kadar tertinggi di negara ini, diikuti Kuala Krai di tempat kedua. Turut dikenal pasti ialah Tumpat, Tanah Merah dan Bachok di Kelantan serta Besut di Terengganu, yang mencatatkan kadar melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.
Saifuddin berkata data berkenaan akan digunakan untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan pendekatan pencegahan dan penguatkuasaan lebih bersasar.
Beliau berkata kerjasama antara KDN, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis dan kerajaan negeri penting bagi mempergiat program kesedaran serta pencegahan di kawasan berkenaan.
