KUALA LUMPUR: Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) meluahkan kekecewaan kerana tiada menteri berada di Dewan Rakyat ketika beliau membahaskan Belanjawan 2027, walaupun sebagai wakil kerajaan beliau mahu menyokong belanjawan itu.
Hassan berkata berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan Ahli Parlimen yang berada di Dewan ketika itu terdiri daripada blok pembangkang.
“Saya ingin menyatakan rasa dukacita. Ketika saya berbahas ini, seorang menteri pun tidak ada di pihak kerajaan.
“Saya backbencher kerajaan. Saya hendak sokong belanjawan ini. Banyak benda yang baik dalam belanjawan ini, tetapi yang ramai kawan-kawan di pembangkang yang hendak dengar saya. Kerajaan tak ada,” katanya di Dewan Rakyat.
Hassan dalam perbahasan turut menekankan supaya rakyat tidak perlu takut terhadap pertukaran kerajaan selagi Parlimen mampu menjalankan fungsi semak dan imbang manakala institusi negara kekal bebas serta profesional.
"Inilah demokrasi di negara kita.
“Membina negara ini mengambil masa, tetapi hendak menjahanamkan dan meruntuhkannya senang sahaja,” katanya.
Hassan turut menggesa kerajaan menggubal undang-undang bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan diagihkan secara adil kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil pembangkang.
Beliau berkata pengagihan peruntukan tidak seharusnya bergantung kepada budi bicara perdana menteri semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai mekanisme yang mengikat kerajaan semasa dan pentadbiran akan datang.
“Kita mesti berunding dengan Kabinet dan membentangkan satu rang undang-undang supaya setiap kerajaan, mana tahu selepas ini bukan Madani yang menjadi kerajaan, turut terikat untuk memberikan peruntukan secara adil kepada semua Ahli Parlimen bagi kawasan dan rakyat mereka,” katanya.
Menyentuh Sabah dan Sarawak, Hassan berkata kerajaan Persekutuan perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta keputusan mahkamah berkaitan hak kedua-dua wilayah itu.
Katanya, pengagihan kekayaan negara secara lebih adil, termasuk hasil sumber asli, penting untuk memastikan hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus kukuh.
Beliau turut mengingatkan bahawa rasa tidak puas hati berpanjangan terhadap layanan kerajaan pusat boleh menjejaskan hubungan dalam sesebuah negara, sambil merujuk beberapa wilayah di luar negara yang pernah berdepan tuntutan pemisahan.
“Kita sayangkan Sabah. Kita sayangkan Sarawak. Sama juga rakan-rakan kita ini sayangkan Semenanjung.
“Jalan betul mencapai keadilan ialah mesti memperbetulkan perkara ini. Tidak rugi membantu Sabah dan Sarawak. Mereka makmur, mereka kaya, kita sama-sama bahagia,” katanya.
