PETALING JAYA: Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Ramkarpal Singh menyeru Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan sama ada polis akan meneruskan siasatan terhadap tiga peguam mewakili keluarga Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia dalam tahanan, awal bulan ini.
Beliau yang juga bekas timbalan menteri undang-undang, turut menuntut Ketua Polis Negara Khalid Ismail mendedahkan peruntukan undang-undang mana diguna menyiasat tiga peguam dari Lawyers for Liberty (LFL) itu.
Latheefa Koya, N Surendran, dan Dina Zamri telah disoal siasat lebih tiga jam di IPD Petaling Jaya dalam siasatan mengenai lawatan peguam dan keluarga berkenaan ke unit patologi Hospital Canselor Tunku Muhriz UKM bagi mendapatkan gambaran penemuan bedah siasat Noorizwan serta melihat foto kecederaannya.
Laporan bedah siasat mendapati 21 kecederaan parah pada tubuh Noorizwan, 42, termasuk pendarahan otak menyeluruh, pendarahan dalaman di abdomen serta pembengkakan teruk dari tengkorak hingga ke tapak kakinya.
Dalam kenyataan, Ramkarpal berkata menjadi hak peguam untuk mendapatkan maklumat daripada agensi yang menyiasat kes anak guam mereka.
"Siasatan terhadap ketiga-tiga peguam tersebut mencerminkan tindakan polis yang melampaui batas dan boleh dianggap sebagai satu bentuk gangguan," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
"Peguam mempunyai tanggungjawab untuk mewakili anak guam mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.
"Saya tidak dapat melihat apakah kesalahan mungkin dilakukan ketiga-tiga peguam tersebut sehingga wajar dikenakan siasatan. Tidak dapat dinafikan tindakan ini boleh dilihat sebagai satu bentuk intimidasi terhadap mereka."
Sebelum ini, Surendran memberitahu FMT bahawa mereka sedang disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Seksyen 506 berkaitan dengan kesalahan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. Seksyen 186 pula membabitkan perbuatan menghalang penjawat awam dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ketika dihubungi pada Selasa, Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat, berkata siasatan itu dikendalikan pegawai dari Bukit Aman.
Noorizwan ditangkap pada 20 Sept lalu dan ditahan di IPD Cheras selama 11 hari tanpa pengetahuan keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 30 Sept. Dia disahkan meninggal dunia pada 1 Okt.
Keluarganya menolak dakwaan ketua polis Kuala Lumpur bahawa tangkapan dan penahanan tersebut dijalankan mengikut SOP.
Pada 12 Okt, seorang pakar patologi forensik kanan di hospital berkenaan dilaporkan mengesahkan kepada keluarga dan pasukan peguam mereka bahawa punca kematian Noorizwan disebabkan trauma daya tumpul pada bahagian kepala.
