PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu perancangan projek sisa kepada tenaga (WTE) di negeri itu diteruskan dan disegerakan dengan bantuan kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, baginda berharap kerajaan Persekutuan dapat mempermudahkan proses pembangunan kemudahan itu yang bukan sahaja mampu mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar selain mengatasi masalah tapak pelupusan sanitari semakin terhad.
Kenyataan itu berkata Sultan Sharafuddin berharap pemeteraian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) membabitkan tiga pihak dapat memberi manfaat dan memastikan tahap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berada pada paras lebih baik.
"Baginda turut menegaskan selepas perjanjian ini ditandatangani, tidak ada sebarang kompromi serta kemerosotan dari segi prestasi dan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa dan pembersihan awam, termasuk dari segi ketepatan masa dan frekuensi kutipan.

"Baginda juga berharap agar perancangan waste-to-energy (WTE) di Selangor dapat diteruskan dan disegerakan melalui pemudahcaraan bersesuaian oleh kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat," katanya.
Baginda menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 8 Okt dan Menteri Besar Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Selangor Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin bagi membincangkan hal berkaitan.
Hasrat itu disuarakan baginda susulan lawatannya ke WTE Amager Bakke (CopenHill) di Copenhagen, Denmark, bulan lalu.
Amager Bakke dibangunkan berteraskan konsep yang menggabungkan kecekapan industri, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Loji itu berupaya memproses kira-kira 400,000 tan sisa setahun untuk menghasilkan bekalan elektrik serta sistem pemanasan daerah kepada puluhan ribu kediaman di Copenhagen.
