KOTA BHARU: Jumlah kes jenayah komersial di Kelantan meningkat kepada 2,092 kes bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, berbanding 1,329 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pertambahan kes itu turut disusuli dengan peningkatan jumlah kerugian kepada RM36.52 juta, berbanding RM31.52 juta bagi tempoh sama.
Beliau berkata kes jenayah komersial itu membabitkan pelbagai bentuk penipuan, termasuk berkaitan e-dagang, panggilan telefon dan pelaburan yang lazimnya mengakibatkan kerugian lebih besar.
Mohd Yusoff berkata kebanyakan mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas beberapa bulan, menyebabkan usaha mengesan dan menyekat aliran wang menjadi lebih sukar serta merendahkan peluang untuk mendapatkan semula wang yang hilang.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sebaik sahaja menyedari menjadi mangsa penipuan, tanpa perlu menunggu untuk membuat laporan polis terlebih dahulu.
“Langkah ini dapat menyegerakan tindakan untuk menyekat aliran wang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kelantan bagi Oktober 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata NSRC beroperasi 24 jam sehari bagi membantu mangsa membuat laporan dan menyelaraskan tindakan dengan polis di negeri berkaitan.
Pada masa sama, beliau berkata polis turut meneruskan kempen kesedaran menerusi pelbagai saluran, termasuk media massa, bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang taktik penipuan serta langkah pencegahan.
