KUANTAN: Bekas ketua polis Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen semua 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2019 hingga 2023.
Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman terhadap Azhar, 56, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Sazlina membenarkan permohonan Azhar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga proses seterusnya.
Terdahulu, peguam M Athimulan memohon anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda kerana sabitan kesalahan itu memberi kesan serius, termasuk kemungkinan dipecat daripada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kehilangan hak pencen.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak memohon hukuman penjara dan denda yang tinggi, dengan mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai pegawai kanan polis serta keseriusan kesalahan dilakukan.
Radzi berkata, tertuduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua polis daerah Temerloh untuk menerima wang daripada pihak tertentu, sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam, khususnya PDRM.
Pada 29 Jun, mahkamah memerintahkan Azhar membela diri atas semua 46 pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
