PETALING JAYA: Polis Bukit Aman menghantar pasukan ke Jepun susulan penahanan lima rakyat Malaysia yang disyaki cuba menyeludup kira-kira 5kg kokain di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata pasukan itu juga akan menyiasat sama ada suspek yang ditahan mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah di Malaysia dan antarabangsa.
Katanya, pihak berkuasa Jepun juga sedang menjalankan siasatan berhubung dari mana bekalan dadah itu diperoleh, lapor Bernama.
Lima rakyat Malaysia itu ditahan pada Sabtu selepas pihak berkuasa Jepun menemui kokain yang disembunyikan di bawah lapik tapak kasut mereka.
Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan berusia 19 hingga 26 tahun dipercayai membawa dadah itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Setiap suspek menyembunyikan kira-kira 1kg kokain, dengan 500g disorokkan di bawah lapik tapak setiap kasut.
Salah seorang daripada lima suspek mendakwa ditawarkan bayaran RM8,000 menerusi Telegram untuk membawa dadah itu dan diberikan sepasang kasut untuk menyembunyikan barangan berkenaan.
