PETALING JAYA: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan terutama membabitkan garis panduan penutupan sekolah.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata langkah persediaan awal Kementerian Pendidikan (KPM) penting bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas jika sekolah terpaksa ditutup akibat jerebu.
Katanya, kesihatan anak-anak sekolah mesti terus diletakkan sebagai keutamaan kerajaan dalam mendepani ancaman jerebu.
"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan memperhalusi cadangan ini bersama KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara, petang tadi.
Dalam pada itu, Anwar berkata keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi untuk mengurangkan jerebu yang sedang dijalankan hampir setiap hari bergantung kepada kesesuaian awan.
Selain jerebu, mesyuarat turut meneliti persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir.
Pada masa sama, kerajaan mengambil maklum ancaman fenomena Super El Nino yang diramal membawa cuaca panas serta kering melampau tahun depan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kesiapsiagaan agensi barisan hadapan terus dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Anwar berkata, Nadma juga perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat.
“Ini bagi memastikan langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas serta berkesan.
"Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat mesti bergerak bersama memperkukuh kesiapsiagaan komuniti. Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan," katanya.
