PETALING JAYA: Seramai 14 lelaki, termasuk dua remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Gurun atas pertuduhan membunuh seorang remaja 18 tahun dan membuang mayatnya di tepi jalan minggu lalu.
Mereka ialah Muhammad Asyraaf Muhammad Zaidi, 20; Muhammad Azrul Rahimi Muhamad Yusri, 18; Ahmad Izzul Irfan Ridduan, 21, Muhammad Rhahimy Abdul Rashid, 19; Yusman Hakimi Yusmezal 24; Muhammad Zulfaqar Zulkarnain Khairol Fais, 21; Muhammad Aiman Riduwan Abdullah, 21; Ahmad Aiman Danial Ahmad Wizam, 21; Syafiq Afif Syarafuddin Abd Ghapar, 23; Muhammad Adam Iqbal Mohd Wazir, 19; Muhammad Muqkriz Azizan, 21, dan Muhammad Adam Haris Rosdan, 21.
Dua lagi tertuduh bawah umur berusia 16 dan 17 tahun.
Berita Harian melaporkan mereka didakwa bersama membunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrill Nizam, 19 di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sungai Petani-Gurun antara 9 malam 5 Okt hingga 7.30 pagi 8 Okt lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung, boleh disebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan pada 23 Dis ini.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat remaja lelaki dalam semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun pada 8 Okt lalu.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, mangsa yang dituduh mencuri motosikal, dipercayai dikurung dua hari, diseksa dan digunting rambut, selain turut dipukul dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan.
