PETALING JAYA: Sekolah-sekolah akan ditutup apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200, manakala semua aktiviti luar bilik darjah mesti dihentikan sekiranya bacaan melebihi 100 susulan ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM) yang kembali mengguna pakai dasar jerebu sedia ada.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyambut baik penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bahawa sebarang langkah menangani jerebu perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
"Sehubungan itu, KPM telah memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan PTJK,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
"Langkah ini bertujuan memastikan keputusan dibuat secara lebih tersusun berdasarkan penilaian keadaan semasa, termasuk bacaan IPU dan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)."
Fadhlina mengakui bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh singkat, dan tindakan menutup sekolah beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira faktor berkenaan boleh merugikan masa pembelajaran murid walaupun kualiti udara telah pulih.
Bagaimanapun, katanya, ibu bapa tetap dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbang akan tahap kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang musim jerebu, dengan syarat pihak sekolah dimaklumkan terlebih dahulu.
"Keselamatan dan kesihatan anak-anak tetap menjadi keutamaan kita. Namun, setiap hari persekolahan juga mempunyai nilai yang besar terhadap perkembangan dan pembelajaran mereka," katanya.
Beliau berharap penyelarasan itu dapat memberi kepastian lebih jelas kepada ibu bapa sekali gus meringankan kesulitan yang dihadapi mereka.
Menurut dasar kementerian pada 2019, sekolah perlu ditutup apabila bacaan IPU mencecah 200, tertakluk kepada pengesahan jawatankuasa pengurusan bencana daerah.
Bagaimanapun, sepanjang episod jerebu kali ini, KPM memperkenalkan ambang penutupan sementara berdasarkan bacaan IPU.
