PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan sumbangan AirAsia kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara sebelum memutuskan sama ada mahu memberikan bantuan kepada syarikat penerbangan tambang murah itu, kata seorang Ahli Parlimen.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027, Larry Sng (PBM-Julau) berkata syarikat itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat, menyokong pelancongan dan menyediakan pilihan penerbangan yang mampu milik.
"Kerajaan patut mempertimbangkan kepentingan kesambungan udara sektor pelancongan dan sumbangannya kepada ekonomi negara sebelum membuat sebarang keputusan mengenai bantuan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.
Sng berkata operasi syarikat penerbangan itu penting bagi memastikan perjalanan udara kekal mampu diakses oleh orang ramai.
"Jika AirAsia tutup, saya fikir 'not everyone can fly'. Saya berpandangan bahawa memastikan AirAsia terus beroperasi adalah penting demi kepentingan ekonomi negara," katanya.
Minggu lalu, Reuters melaporkan bahawa pengasas bersama AirAsia, Tony Fernandes, bertemu pegawai Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan untuk membincangkan kos berkaitan penerbangan, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kedudukan kewangan syarikat itu.
Laporan itu, yang memetik tiga individu yang mengetahui perkara tersebut, menyatakan bahawa perbincangan turut tertumpu pada kemungkinan kerajaan menyokong usaha AirAsia mengumpul dana, tertakluk pada syarat dicadangkan dan masih dalam perbincangan.
Bagaimanapun, Fernandes berkata pertemuan itu tertumpu pada kos berkaitan penerbangan, termasuk caj lapangan terbang dan bahan api, dan tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan. Fernandes juga menafikan bahawa beliau meminta bantuan daripada kerajaan.
Fernandes berkata beliau kekal yakin bahawa AirAsia mampu mengharungi tempoh sukar itu tanpa bantuan kerajaan, tetapi menambah bahawa syarikat itu tidak akan menolak bantuan sekiranya ditawarkan.
Syarikat itu terjejas akibat kenaikan kos bahan api jet dan melaporkan kerugian bersih sebanyak RM831 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan bahan api yang lebih tinggi dan kerugian pertukaran wang asing.
Reuters turut melaporkan bahawa AirAsia sedang berusaha mengumpul sehingga USD1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa dan mendapatkan kemudahan kredit tempatan sebanyak RM700 juta, terutamanya untuk membiayai semula hutang sedia ada.
