KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengalami sebarang gangguan susulan penggantungan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Beliau berkata, orang ramai mempunyai saluran alternatif untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ, sambil menambah tiada sebarang masalah timbul sepanjang dua minggu lalu.
"Kutipan saman dan perkhidmatan lain dijalankan oleh MyJPJ. Jadi, bagi pengguna, tidak ada gangguan dan tidak ada masalah," katanya pada sidang media.
"Pembaharuan cukai jalan dan pembaharuan lesen kenderaan masih boleh diakses oleh orang ramai seperti biasa kerana ramai yang telah beralih kepada penggunaan aplikasi MyJPJ."
Minggu lepas, Zetrix memaklumkan Bursa Malaysia Securities bahawa operasinya tidak terjejas oleh siasatan bersama yang sedang dijalankan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan itu berkait dakwaan kegagalan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta, selain pendedahan bahawa kedua-dua syarikat itu tertunggak bayaran sebanyak RM314 juta kepada JPJ.
Sementara itu, apabila ditanya sama ada Kementerian Pengangkutan bercadang menyokong pembangun aplikasi tempatan dengan menyediakan data pengangkutan awam, Loke berkata, kerajaan telah mengamalkan dasar data terbuka sejak beberapa tahun lalu.
Perkembangan ini susulan arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi atas kebimbangan keselamatan berhubung aplikasi itu, yang tertakluk pada undang-undang Israel.
Anwar sebelum ini menggesa rakyat Malaysia beralih kepada alternatif tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Loke berkata, bakal pembangun aplikasi boleh mengakses data seperti bilangan penumpang, kekerapan perkhidmatan dan jadual tren.
“Kita galakkan pembangunan aplikasi yang dapat memudahkan lagi rakyat menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
