KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempertimbangkan cadangan menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) setiap beberapa tahun dengan kerjasama negara lain, berbanding menjadi tuan rumah acara itu setiap tahun.
Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah mengadakan perbincangan awal dengan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali, serta pihak pengurusannya mengenai kemungkinan membawa semula perlumbaan berprestij itu ke Malaysia.
"Turut dicadangkan supaya perlumbaan diadakan sekali setiap beberapa tahun dengan kerjasama negara lain. Bagaimanapun, cadangan ini masih di peringkat awal dan kita perlu menilai sama ada ia boleh dilaksanakan," katanya menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) di Dewan Rakyat.
Taufiq berkata, sebuah jawatankuasa membabitkan beberapa kementerian dan Ketua Setiausaha Negara sedang menilai kos penganjuran serta manfaat ekonomi yang boleh diperoleh daripada perlumbaan itu.
Menurutnya, laporan hasil penilaian berkenaan akan disiapkan menjelang November untuk membolehkan Jemaah Menteri memutuskan sama ada Malaysia wajar kembali menjadi tuan rumah F1.
Beliau berkata, penganjuran F1 memerlukan perbelanjaan besar dan kerajaan perlu menilai sama ada sambutan menggalakkan yang diterima tahun ini mampu dikekalkan sekiranya perlumbaan diadakan setiap tahun.
Taufiq turut menegaskan bahawa usaha membawa kembali F1 tidak boleh menjejaskan peruntukan untuk pembangunan atlet dan sukan lain.
Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Okt lalu selepas perlumbaan itu dipindahkan susulan konflik di Asia Barat.
Penganjuran itu menandakan kembalinya F1 ke Sepang buat kali pertama sejak Grand Prix Malaysia kali terakhir diadakan pada 2017.
Perlumbaan selama tiga hari itu menarik 261,000 penonton, termasuk 103,000 pada hari perlumbaan utama. Lebih 97,000 tiket terjual, manakala kerajaan menganggarkan acara itu menjana aktiviti ekonomi bernilai hampir RM950 juta.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Wan Hassan Ramli (PN-Dungun), Taufiq berkata Malaysia hanya mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat persiapan bagi menganjurkan perlumbaan berkenaan.
Beliau memuji peranan agensi kerajaan dalam menjayakan acara itu, namun mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya dari segi pengangkutan awam, pengurusan lalu lintas dan kemudahan untuk penonton.
