KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada arahan dikeluarkan untuk menghentikan atau menangguhkan siasatan berhubung isu Zetrix AI Bhd dan Felda, sebaliknya proses itu diserahkan kepada badan penguatkuasaan untuk diselesaikan secara telus.
Beliau bagaimanapun mengakui, siasatan bagi sesetengah kes mengambil masa yang panjang, namun kelewatan itu tidak bermakna kerajaan cuba melindungi mana-mana pihak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuat laporan polis terhadap isu Zetrix AI Bhd manakala Suruhanjaya Sekuriti turut membuka fail dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
"Apakah ada arahan supaya siasatan diteruskan? Ada. Apakah ada arahan menutup? Tidak ada," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai perkembangan siasatan beberapa isu berprofil tinggi termasuk Zetrix AI Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda,
Fadhli turut mempersoalkan mengapa kes melibatkan Felda dan TH yang didakwa berlaku sejak sekian lama dan baru disiasat serta didedah tetapi tidak menekankan kes terkini melibatkan Zetrix AI Bhd.
Mengulas isu Felda, Anwar berkata kertas putih berhubung perkara itu telah dibentangkan pada 2019, namun tindakan susulan hanya dimulakan selepas kerajaan pimpinannya mengambil alih pentadbiran pada 2022
Katanya, kerajaan menubuhkan jawatankuasa petugas khas bagi meneliti isu berkenaan yang mengambil masa kira-kira setahun sebelum kertas siasatan dibuka.
"Kertas siasatan Felda berulang kali dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penelitian lanjut, sekali gus menyumbang kepada tempoh siasatan yang panjang.
"Saya terimalah kalau kadang-kadang dikatakan kelewatan, tetapi kelewatan itu lebih baik ada tindakan daripada tidak ada tindakan sama sekali," katanya.
Anwar menegaskan, beliau tidak berhasrat menggunakan kuasa yang ada untuk menangguhkan atau menghalang sebarang siasatan yang dijalankan secara telus dan terbuka.
Berhubung TH katanya, ia telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada peringkat awal pentadbiran kerajaan selepas mengambil alih kerajaan.
Beliau berkata, pengurusan TH bagaimanapun memohon sebarang tindakan ditangguhkan sementara institusi berkenaan melaksanakan usaha pemulihan, namun siasatan tetap boleh diteruskan.
Anwar turut membezakan membezakan kelewatan siasatan daripada dakwaan pendakwaan terpilih, sambil menegaskan tindakan perlu berasaskan proses dan penelitian sewajarnya, bukannya tekanan untuk menyegerakan keputusan tanpa mengambil kira fakta kes.
