Sivasangari bangkit daripada ketinggalan dua permainan untuk tewaskan Fayrouz Aboelkheir 3-2 dan mara ke separuh akhir Terbuka Mesir 2026.
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari hanya selangkah ke final Terbuka Mesir 2026 selepas mara ke separuh akhir di Giza, semalam.
Beraksi di hadapan Piramid Besar Giza, pemain pilihan keempat itu bangkit daripada ketinggalan dua permainan, untuk menewaskan pemain pilihan ketujuh yang juga wakil tuan rumah Fayrouz Aboelkheir, dalam aksi mendebarkan.
Kemenangan 9-11, 4-11, 11-7, 11-8, 11-7 itu menyaksikan Sivasangari, 27, mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf “Diamond” buat kali pertama dalam kariernya.
Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan Asia 2026 itu berdepan tugas getir, apabila dijadualkan menentang juara bertahan yang juga pemain pilihan utama Hania El Hammamy, esok.
El Hammamy terlebih dahulu menyingkirkan pemain Jepun Satomi Watanabe, dalam perlawanan sengit yang berkesudahan 9-11, 11-9, 11-9, 9-11, 11-5.
Berdasarkan rekod pertemuan, pemain nombor dua dunia El Hammamy, memiliki kelebihan ke atas Sivasangari yang menghuni ranking kelima dunia, selepas memenangi 10 daripada 12 pertemuan mereka sebelum ini.
Kali terakhir Sivasangari menewaskan pemain Mesir itu ialah di London Squash Classic 2024 yang berkesudahan 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8.
