PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang membebaskan dan melepaskan pempengaruh politik Wan Azri Wan Deris daripada pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap kerajaan.
AGC menyatakan bahawa Mahkamah Sesyen sama membebaskan Wan Azri, pada akhir kes pendakwaan pada September tahun lalu sebelum Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh membela diri pada tahun ini susulan rayuan pihak pendakwaan.
“Tertuduh kemudian mengemukakan pembelaannya dengan memberikan keterangan bersumpah di Mahkamah Sesyen yang sama. Tertuduh, sebagai satu-satunya saksi pembelaan mengakui mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan seperti yang dipertuduhkan dan hanya mengemukakan pembelaan berbentuk penafian semata-mata .
“Selepas meneliti keputusan hakim Mahkamah Sesyen, AGC memutuskan untuk memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap Wan Azri mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan melampaui keraguan munasabah.
Wan Azri didakwa membuat kenyataan bahawa kerajaan ‘pro-Israel dan pro-Barat’ menerusi akaun Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ kira-kira 1 tengah hari pada 8 Nov 2023.
