PETALING JAYA: Kerajaan dituntut guna pengaruh perdagangan untuk mempertanggungjawabkan syarikat ladang terlibat kebakaran hutan di Indonesia yang membawa insiden berulang jerebu rentas sempadan, kata Lee Chean Chung.
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya yang kini ahli Barsama, berkata syarikat ladang Malaysia beroperasi di Indonesia patut diwajib mendedahkan peta konsesi serta rekod kebakaran mereka menerusi Bursa Malaysia dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dalam kenyataan, Lee turut mencadangkan syarikat yang dikaitkan kebakaran berkenaan dilarang menyertai perolehan kerajaan, menerima pensijilan dan insentif, selain identiti syarikat didedahkan.
"Modal (daripada syarikat) Malaysia tidak boleh mengaut keuntungan daripada asap yang meracuni paru-paru rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan itu.
Lee juga menyeru kerajaan memperkenalkan akta pencemaran jerebu rentas sempadan, sambil menyatakan undang-undang yang dicadangkan tersebut masih belum dilaksanakan sejak beliau mula mencadangkannya, pada Ogos 2019.
Beliau berkata, undang-undang berkenaan akan memberi kuasa Jabatan Alam Sekitar memaksa syarikat mengemukakan maklumat, serta membolehkan pendakwaan dan tuntutan sivil terhadap syarikat tempatan mahupun asing yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu menjejaskan negara, tanpa mengira di mana kebakaran itu berlaku.
Lee turut mencadangkan data satelit dan peta konsesi ladang dibenar digunakan sebagai bahan bukti, termasuk mewajibkan syarikat membuktikan tanah milik mereka bukanlah punca berlakunya kebakaran.
Beliau menuntut Malaysia mengaktifkan mekanisme Asean sedia ada bagi menangani isu jerebu, termasuk membangkitkan secara rasmi kebimbangan mengenai kewajipan Indonesia di bawah Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Lee mencadangkan Mesyuarat Khas Persidangan Pelbagai Pihak (COP) bagi perjanjian tersebut diadakan, selain mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah yang melibatkan Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand, serta mengoptimumkan penggunaan Pusat Penyelarasan Asean bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Katanya, isu terbabit patut dibangkitkan pada Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila dari 16 hingga 18 Nov, di mana Malaysia perlu mendapatkan komitmen tegas daripada pemimpin serantau dan laporan kemajuan secara berkala.
Dalam pada itu, beliau mengkritik pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Putrajaya telah melakukan yang terbaik untuk menangani isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan negara, sambil berhujah pendekatan diplomatik semata-mata tidak memadai.
Beliau juga mempersoalkan cara Kementerian Luar menguruskan dakwaan syarikat Malaysia yang didakwa terkait kebakaran di Indonesia, sambil memetik kenyataan Parlimen baru-baru ini bahawa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian belum menerima pengesahan daripada Wisma Putra mengenai syarikat tersebut.
Lee berkata, data titik panas satelit, peta konsesi, dan rekod pemilikan semuanya tersedia dengan menyifatkan halangan utama ialah kekurangan iltizam politik dan bukannya kekurangan keterangan.
"Jerebu bukannya bencana alam. Ia berpunca perbuatan manusia, boleh dikekang daripada berulang," katanya.
Sebanyak 24 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat tengah hari tadi, turun daripada 27 kawasan berbanding petang semalam.
Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata sebahagian besar kebakaran tercetus di Indonesia berlaku di luar kawasan konsesi kelapa sawit milik syarikat Malaysia.
Pada Isnin, Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata menteri luar Asia Tenggara akan berbincang mengenai usaha menangani jerebu yang melanda sebahagian rantau ini menjelang Sidang Kemuncak Asean, bulan depan.
