PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pandangan, teguran, dan kebimbangan disuarakan berkaitan pentadbiran negeri bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya, baginda bertitah perkara itu disuarakan bagi memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama.
“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan. Sebaliknya beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor.
“Namun demikian, apa yang mendukacitakan beta adalah apabila teguran atau ‘titah’ menurut bahasa istana, disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik. Seolah-olah beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak,” titah baginda menurut Bernama.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan, baginda amat arif tentang peruntukan undang-undang dan tahu sejauh mana peranan serta tanggungjawab baginda di bawah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diamalkan negara ini serta Selangor.
Baginda juga menghormati peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan dan bidang kuasa baginda sebagai Sultan.
“Selama ini, beta laksanakan pemerintahan beta berdasarkan amanah dan tanggungjawab di bawah kuasa beta dan beta percaya setiap pihak yang diberi amanah dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti.
“Kepada kerajaan beta, beta berpesan agar berusaha keras bagi mencapai kejayaan dan kemajuan dalam semua bidang. Beta mahu melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang terus maju, berdaya saing, mempunyai tahap pemodenan yang tinggi, rakyat yang berilmu dan cemerlang, dan pada masa yang sama tetap menjaga nilai agama, adab serta kemanusiaan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah bahawa ukuran kemajuan sesebuah negeri bukanlah semata-mata berdasarkan jumlah pelaburan mencecah berbilion ringgit, pembangunan yang pesat atau pencapaian keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang tinggi.
Baginda bertitah, apa gunanya sesebuah negeri itu memiliki kekayaan yang besar sekiranya rakyatnya masih hidup dalam kesusahan kerana kemajuan sebenar ialah apabila hasil kekayaan negeri dapat dinikmati dan dikecapi seluruh rakyat.
