PUTRAJAYA: 1MDB dan empat anak syarikatnya memenangi rayuan untuk menghidupkan semula permohonan bagi mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi memerintahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali Jho Low serta bapanya membayar lebih USD3.7 bilion.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Azhahari Kamal Ramli membenarkan rayuan itu dan memerintahkan permohonan itu didengar hakim Mahkamah Tinggi lain.
Pengurusan kes ditetapkan 26 Okt ini.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Ahmad Kamal Shahid dan Alice Loke, tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Rayuan itu menyusul keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh lima syarikat terbabit pada 2022.
Penghakiman ingkar itu direkodkan selepas pembelaan Low dan bapanya, Larry Low Hock Peng, dibatalkan kerana melanggar injunksi Mareva, iaitu perintah mahkamah yang menghalang defendan melupus atau memindahkan aset mereka.
Lima syarikat itu kemudiannya memohon untuk mengetepikan penghakiman berkenaan bagi membolehkan pertikaian terbabit dibicarakan sepenuhnya di mahkamah serta menuntut remedi lebih luas terhadap dua beranak itu.
Tetapi, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka tahun lalu atas alasan ia difailkan terlalu lewat.
Peguam Lee Shih yang dibantu Priyadana Annadurai mewakili 1MDB dan anak syarikatnya. Low serta bapanya yang tidak diwakili peguam tidak hadir di mahkamah.
Di bawah penghakiman pada 2022 itu, Low dan bapanya diperintahkan membayar USD3,782,637,525 berserta faedah tahunan sebanyak 5% ke atas jumlah berkenaan, yang dikira bermula tarikh antara 2010 hingga 2014 sehingga penyelesaian penuh dibuat.
