PETALING JAYA: Seorang lelaki dipenjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas mengaku bersalah mendera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hingga menyebabkan kematiannya termasuk memaksa mangsa memakan najis, empat tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Abdul Fareed Abdul Gafoor terhadap tertuduh, Chan Wen Jin, 32, dan mengarahkannya berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 3 Okt 2022.
Dia yang juga bekas pemandu e-panggilan dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaksanakan bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin tanpa cagaran bagi tempoh tiga tahun, menurut Sinar Harian.
Chan turut diarahkan melaksanakan kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.
Dalam penghakimannya, Fareed berkata hukuman perlu mengimbangi kepentingan awam dan tertuduh, selain mengambil kira keseriusan kesalahan, fakta kes serta faktor mitigasi.
Menurutnya, perbuatan tertuduh yang memaksa mangsa memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang sebagai tindakan tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan sama sekali tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.
“Rakaman itu menunjukkan perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa, sebawliknya merupakan penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berdaya melindungi diri sendiri,” katanya.
Mahkamah menegaskan tertuduh telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.
Abdul Fareed turut menolak hujah pihak pembelaan bahawa perbuatan itu merupakan cara tertuduh mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak sendiri.
“Sekiranya tertuduh tidak mampu menjaga mangsa, dia sepatutnya menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada bapanya,” katanya.
Tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh Lee See Jie yang berusia tiga tahun di Skudai, antara 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Okt 2022.
Pertuduhan asal dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong dan Nur Diana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar serta Freeda Sabapathy.
