SHAH ALAM: Seorang lelaki yang memandu melawan arus sehingga mengorbankan dua remaja dalam nahas di Lebuhraya Persekutuan pada 2021 dihukum penjara sembilan tahun, selepas Mahkamah Tinggi di sini meminda tuduhan membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat.
Hakim Bhupinder Singh berkata, pihak pendakwaan, yang memanggil 14 saksi, gagal membuktikan intipati kesalahan membunuh terhadap K Devaaswin, 29.
Justeru, beliau meminda tuduhan itu kepada menyebabkan kematian tanpa niat yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, dengan Devaaswin mengaku bersalah atas tuduhan yang dipinda tersebut.
Mahkamah turut mengenakan denda RM30,000 bagi setiap mangsa, menjadikan jumlah keseluruhan RM60,000. Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan tertuduh.
Devaaswin didakwa pada September 2021 atas tuduhan membunuh Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18.
Kedua-dua remaja itu maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di KM8.6 Lebuhraya Persekutuan kira-kira 1.50 pagi pada 12 Sept 2021.
Pihak pendakwaan pada asalnya mendakwa Devaaswin mengikut Seksyen 302, kesalahan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun mengikut undang-undang terkini, selain sebatan mengikut peruntukan statut.
Barisan peguam belanya, N Sivananthan dan Nabila Habib, menyambut baik dapatan mahkamah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bunuh tersebut.
Mereka menyifatkan keputusan berkenaan signifikan dalam membezakan antara kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian tanpa niat, khususnya bagi menentukan elemen niat atau keadaan fikiran apabila kematian berpunca daripada dakwaan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurut barisan peguam itu, ini merupakan kes pertama seumpamanya di Malaysia yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan penuh membabitkan tuduhan bunuh yang timbul daripada insiden pemanduan mabuk membawa kepada kematian.
Pihak pembelaan turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga kedua-dua remaja itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizi Abdul Halim.
