Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 bangunan kediaman di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
SEPANG: Polis mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan kediaman di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.54 pagi hari ini.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norhizam berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan proses bedah siasat telah selesai dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Sehubungan dengan itu, Norhizam menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Farizi Ramlee melalui talian 014-314 5347,” katanya.
