PETALING JAYA: Pertelingkahan terbuka antara Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim dijangka semakin ketara tetapi tidak akan memuncak sebelum keputusan mengenai penggantian ketua menteri Pulau Pinang dibuat, kata seorang penganalisis politik.
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, ketegangan antara dua pemimpin yang sudah lama bersaing dalam parti itu dijangka berterusan apabila isu penggantian kepimpinan politik semakin mendapat perhatian, dengan Sim antara calon utama untuk menjadi ketua menteri seterusnya.

“Perselisihan itu akan menjadi lebih ketara sebelum ketua menteri baharu diumumkan,” kata Chin. Bagaimanapun, pertikaian itu tidak mungkin mencapai kemuncak kerana tiada pemilihan parti dalam masa terdekat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sudah berkhidmat selama dua penggal dan dilarang undang-undang untuk memegang jawatan itu bagi penggal ketiga. Ini bermakna jawatan berkenaan akan terbuka apabila PRN diadakan.
Minggu lalu, Lim menuduh Sim membiarkan individu yang dikaitkan dengannya melancarkan serangan peribadi terhadap Lim dan adiknya, Lim Hui Ying, yang merupakan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, susulan perbezaan pendapat mereka mengenai gaji minimum dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Lim menyasarkan Pengerusi SME Corp Malaysia, Teng Chang Khim, dengan menuduhnya lebih menumpukan perhatian kepada kritikan terhadap pemimpin DAP berbanding menangani isu yang menjejaskan PKS. Lim berkata Sim berhak untuk tidak bersetuju dengannya tetapi tidak sepatutnya membiarkan serangan sedemikian berterusan.
Terdahulu, Lim mengkritik keputusan kerajaan melanjutkan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 kepada pekerja asing sedia ada serta mewajibkan majikan dan pekerja asing masing-masing mencarum 2% kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Beliau berkata langkah itu akan meningkatkan kos perusahaan kecil dan sederhana.
Dua minggu lalu, Sim yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata kerajaan bersetuju mengecualikan perusahaan lebih kecil daripada kenaikan gaji minimum seterusnya buat masa ini.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, berkata Lim mungkin cuba menegaskan semula pengaruhnya dalam DAP, meskipun motif beliau tidak jelas.

Beliau berkata, pengalaman Lim sebagai penasihat parti dan bekas setiausaha agung masih menjadi aset, namun pengaruh politik kini semakin bergantung pada keupayaan menghasilkan penyelesaian dasar yang praktikal dan bukan semata-mata berdasarkan senioriti.
Awang Azman berkata, Sim sebagai menteri yang sedang berkhidmat, perlu menunjukkan kepimpinan melalui hasil yang konkrit dan bukannya konfrontasi terbuka.
Beliau memberi amaran, serangan peribadi boleh menjejaskan kredibiliti kedua-dua pemimpin serta mengalihkan perhatian daripada isu dasar yang lebih penting. Dakwaan membabitkan individu yang dikaitkan dengan Sim juga tidak seharusnya secara automatik dikaitkan dengan menteri itu sendiri, katanya.
“Orang ramai secara umumnya mengharapkan menteri menumpukan perhatian kepada tadbir urus, cabaran ekonomi dan pelaksanaan dasar, bukannya terheret dalam pertikaian dalaman yang berpanjangan,” katanya.
Awang Azman berkata, kritikan Lim akan lebih berasas jika disokong bukti ekonomi dan alternatif yang praktikal, manakala Sim boleh menunjukkan kematangan politik dengan menangani kebimbangan mengenai dasar tanpa menjadikan pertikaian itu bersifat peribadi.
