KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan untuk merayu kepada menteri dalam negeri susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata pendekatan itu antara yang dipertimbang oleh PN bagi mencabar tindakan JPPM selain daripada proses perundangan.
"Akta Pertubuhan 1966 membenarkan pihak terkilan merayu kepada menteri dalam tempoh 30 hari daripada keputusan JPPM.
"PN akan meneliti semua tindakan yang boleh diambil di mahkamah dan peringkat pentadbiran," katanya pada sidang media di Parlimen.
Awal hari ini, JPPM mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.
Jabatan itu berkata keputusan dibuat selepas meneliti dokumen dan penjelasan PN yang diterima pada 12 Okt, yang didapati tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftarannya.
Pembatalan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Jul.
PN sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 5 Okt bagi mencabar notis JPPM, sebelum mendapat kebenaran memulakan prosiding berkenaan pada 13 Okt.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan penangguhan sementara terhadap penggantungan aktiviti PN. Pendengaran permohonan penangguhan dengan kehadiran kedua-dua pihak ditetapkan pada 22 Okt.
Takiyuddin turut menjelaskan PN masih boleh bertanding pada PRN Melaka, 14 Nov ini, menggunakan logo parti anggotanya walaupun pendaftaran gabungan itu dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau berkata parti anggota PN belum memutuskan logo yang akan digunakan dan perkara itu akan dibincangkan bersama.
“Kita belum lagi buat keputusan logo apa yang kita akan gunakan,” katanya.
Takiyuddin turut mendakwa pembatalan pendaftaran PN menjejaskan hak lebih 600,000 pengundi Melaka untuk memilih gabungan itu pada PRN akan datang.
“Mereka seolah-olah dinafikan pilihan kepada mereka untuk memilih PN,” katanya.
