KUALA LUMPUR: Kekurangan bukti untuk mengenal pasti punca pencemaran dan pihak bertanggungjawab menjadi cabaran utama Malaysia jika mahu menggubal akta khusus bagi menangani jerebu rentas sempadan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata maklumat seperti koordinat kebakaran, pemilikan tanah dan pihak yang menjalankan aktiviti di kawasan terlibat perlu dikenal pasti, termasuk bukti mengaitkan kebakaran itu dengan jerebu di Malaysia.
“Maklumat sedemikian memang selazimnya adalah satu perkara yang mencabar,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai kemungkinan Malaysia menggubal undang-undang seumpama Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura, termasuk meneliti kelemahan pelaksanaannya.
Syed Ibrahim berkata, undang-undang sedemikian boleh digubal jika diperlukan, tertakluk kepada proses perundangan dan kelulusan Dewan Rakyat.
Selain membolehkan tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab, akta itu juga boleh menjadi pencegah kepada aktiviti pembakaran yang menjejaskan kesihatan penduduk negara jiran.
Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan sebarang keputusan untuk menggubal akta khusus itu.
Sebaliknya, Malaysia akan meneruskan kerjasama diplomatik dengan Indonesia serta usaha serantau menerusi Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
“Malaysia kekal komited terhadap visi Asean bebas jerebu menjelang 2030 melalui Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu Asean.
“Dua inisiatif turut dikemukakan di peringkat serantau, iaitu diplomasi sains bagi memperkukuh penggunaan data dan bukti saintifik serta dana jerebu mampan untuk memperluas pembiayaan pencegahan kebakaran dan pengurusan jerebu,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan lanjut dijadualkan berlangsung pada Disember ini menerusi mesyuarat Jawatankuasa dan Persidangan Negara-negara Pihak kepada perjanjian berkenaan di Vietnam.
Syed Ibrahim menegaskan usaha diplomatik perlu menghasilkan tindakan yang boleh diukur, manakala penguatkuasaan mesti berasaskan bukti dan undang-undang.
