SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan Istiadat Penzahiran Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) dan Darjah Mulia Negeri Sembilan (DMNS) di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, penerima DTNS ialah Undang Luak Sungei Ujong Faris Johari, Undang Luak Jelebu Azrin Khairi dan Undang Luak Rembau Hassan Ab Hamid.
Tiga penerima DMNS ialah Tok Puan Sungei Ujong Sharifah Amirah Syed Ismail Ash-Shahab, Tok Puan Jelebu Norazizan Mamat dan Tok Puan Rembau Asmah Yaakob.
DTNS ialah darjah kebesaran dianugerahkan khas kepada Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin, manakala DMNS dianugerahkan khas kepada Tok Puan Undang Yang Empat serta Tunku Isteri, Tunku Besar Tampin.
Turut berangkat ke majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-'Abidin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Zafir Ibrahim, Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan Muzalmah Mustapha Kamal, Pegawai Kewangan Negeri Sembilan Masri Razali, pegawai daerah Seremban, Port Dickson, Jelebu dan Rembau serta wakil luak.
