ISTANBUL: Pakatan pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan udara pada Selasa ke atas kedudukan Houthi di ibu negara Yaman, Sanaa, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik pegawai Kerajaan Yaman dan Kumpulan Houthi.
Pegawai Kerajaan Yaman, Fayyad Alnoman, berkata pesawat pakatan mula mengebom kedudukan Houthi di Sanaa di kawasan yang telah diarahkan oleh pasukan bersekutu supaya dikosongkan sebelum ini.
Sementara itu, jurucakap tentera Houthi Yahya Saree berkata pasukan Arab Saudi menyeberang dan membedil Sanaa, dan pasukan Houthi membalas serangan berkenaan.
Kumpulan Houthi memberitahu bahawa satu serangan menyasarkan kemudahan Syarikat Petroleum Yaman di Al-Sabahah, barat Sanaa.
Awal Selasa, pakatan pimpinan Arab Saudi mengarahkan orang awam supaya mengosongkan stesen pusat Al-Sabahah milik syarikat itu menjelang operasi ketenteraan yang dirancang.
Serangan udara berkenaan berlaku di tengah-tengah pertempuran yang semakin memuncak antara pakatan pimpinan Arab Saudi dan Houthi, dengan kedua-dua pihak mengeluarkan amaran pengosongan bagi kawasan yang berpotensi menjadi sasaran.
