PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyeru ahli dan penyokong parti-parti yang sehaluan dengan Perikatan Nasional (PN) supaya bertenang, susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia membatalkan pendaftaran PN.
Presiden Hamzah Zainudin berkata Wawasan menolak keputusan JPPM sepenuhnya, dan bersama 'parti-parti politik sahabat PN' akan mempertahankan hak melalui saluran undang-undang.
Awal hari ini, JPPM mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.
Pembatalan ini menyusuli penggantungan semua kegiatan PN pada 23 Sept. Pada 13 Okt, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan PN mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar dua notis dikeluarkan JPPM, namun tidak membenarkan penangguhan sementara terhadap penggantungan aktiviti PN. Pendengaran permohonan penangguhan ditetapkan pada 22 Okt.
"Segala tindakan undang-undang seperti yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, akan diteruskan," kata Hamzah dalam kenyataan.
Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat majlis tertinggi PN pada 16 Jul.
Awal hari ini, Takiyuddin mengumumkan PN mempertimbangkan untuk merayu kepada menteri dalam negeri bagi mencabar tindakan JPPM, selain daripada proses perundangan.
Takiyuddin juga mengumumkan parti-parti komponen PN masih boleh bertanding pada PRN Melaka, 14 Nov ini, menggunakan lambang parti anggota.
Berkaitan PRN Melaka, Hamzah berkata parti-parti yang sehaluan dengan PN akan memasuki pilihan raya dengan strategi yang tepat.
"Sehubungan itu, seluruh ahli dan penyokong diseru supaya kekal tenang dan mematuhi lunas perundangan dalam negara," katanya.
