PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa Bersatu 'tikam belakang' Perikatan Nasional (PN) berikutan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN.
Wan Ahmad Fayhsal berkata langkah JPPM berpunca daripada aduan Bersatu selepas kepimpinan parti berkenaan disingkirkan secara demokratik dalam PN.
Beliau menyifatkan kekecewaan yang ditunjukkan kepimpinan Bersatu berhubung pembatalan itu sebagai 'air mata buaya', sambil mendakwa ia sebahagian daripada perancangan sulit parti itu untuk melemahkan PN melalui strategi 'bumi hangus'.
"Pengkhianatan ini bukan lagi rahsia kerana Bersatu sudah pun melutut kepada Pakatan Harapan (PH)," menurut kenyataan.
Tambahnya, langkah itu sebahagian strategi Bersatu memuktamadkan jajaran baharu bersama PH, termasuk rundingan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) di Selangor dan kerjasama di Melaka.
Awal hari ini, JPPM membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan selepas JPPM meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Okt.
Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Jul.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata gabungan itu akan mencabar pembatalan pendaftarannya dan memohon supaya pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.
Media melaporkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, melahirkan rasa dukacita atas pembatalan pendaftaran PN, yang disifatkan beliau sebagai peringatan kepada pemimpin parti agar mematuhi perlembagaan dan bertindak adil.
