PETALING JAYA: Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) Melaka memfailkan saman bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pindaan Perlembagaan Negeri yang membenarkan pelantikan Adun tanpa melalui pilihan raya adalah tidak berperlembagaan.
Ketua PH Melaka Adly Zahari dan timbalannya Khoo Poay Tiong memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Melaka Khamis lalu, sebelum menyerahkan writ saman kepada setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri hari ini.
Pada sidang media di luar Kompleks Seri Negeri, Khoo berkata beliau memfailkan saman itu atas kapasiti sebagai pengundi Melaka, manakala Adly sebagai Adun Bukit Katil ketika rang undang-undang pindaan berkenaan diluluskan.
Khoo yang juga Ketua DAP Melaka berkata pindaan itu diwartakan pada 27 Ogos, namun tindakan mahkamah hanya dimulakan Khamis lalu kerana warta berkenaan baru-baru ini disiarkan di laman web kerajaan negeri.
"Ini bukan kerana pilihan raya negeri semakin hampir. Ia hanya kebetulan.
"Selepas rang undang-undang itu diluluskan pada 14 Julai, kami sudah menyatakan hasrat untuk membawanya ke mahkamah.
"Kami menunggu sehingga pindaan itu diwartakan kerana proses mahkamah hanya boleh dimulakan selepas pewartaannya," kata Ahli Parlimen Kota Melaka itu.
Khoo dan Adly berhujah peruntukan berkenaan tidak berperlembagaan kerana Perlembagaan Melaka menetapkan bahawa Adun mesti dipilih melalui pilihan raya.
"Adun lantikan tidak dipilih rakyat dan tidak mewakili mana-mana kawasan, tetapi mereka boleh mempengaruhi keputusan perundangan serta keseimbangan kuasa politik dalam DUN," kata Khoo.
Pada Julai lalu, PH menarik diri daripada kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membenarkan pelantikan sehingga tujuh Adun tanpa melalui pilihan raya.
Gabungan itu menyifatkan pindaan berkenaan sebagai bercanggah dengan prinsip asas demokrasi.
Pada Jun lalu, DUN Johor turut meluluskan pindaan seumpama itu yang mendapat bantahan Adun PH di negeri berkenaan.
Sebelum ini, hanya Sabah, Terengganu dan Pahang mempunyai undang-undang yang membenarkan pelantikan Adun tanpa melalui pilihan raya.
