KUALA LUMPUR: Pelaburan yang diluluskan perlu direalisasikan supaya rakyat dapat merasai manfaatnya dan perniagaan tempatan dapat memperluas operasinya, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata usaha menarik pelaburan ke Malaysia tidak boleh terhenti pada peringkat kelulusan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pembinaan kilang, pewujudan peluang pekerjaan dan bermulanya operasi syarikat.
Katanya Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion bagi separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding tahun lepas yang dijangka mewujudkan lebih 99,000 peluang pekerjaan.
“Kita tak boleh berhenti setakat meluluskan pelaburan. Kita kena pastikan kilang dibina, syarikat mula beroperasi, peluang pekerjaan diwujudkan dan perniagaan tempatan turut mendapat manfaat.
“Inilah yang saya tekankan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah MIDA dan Management Retreat minggu ini,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Tengku Zafrul berkata pelaburan berjumlah RM218.5 bilion itu adalah angka yang besar.
“Tapi apa yang rakyat dapat? Bagi saya, itu soalan paling penting setiap kali kita umumkan angka pelaburan negara.
“Bagi anak muda yang baru habis belajar, mereka nak tahu ada tak peluang kerja yang baik. Bagi ibu bapa, mereka nak tengok anak dapat bina masa depan dengan pendapatan yang lebih selesa. Para peniaga pula berharap ada lebih banyak peluang untuk kembangkan perniagaan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata itu antara matlamat yang ingin dicapai apabila menarik pelaburan ke Malaysia.
Dalam pada itu, katanya MIDA yang akan menyambut ulang tahun ke-60 penubuhannya pada tahun depan, perlu terus menyesuaikan cara kerjanya mengikut keperluan semasa walaupun telah mencapai pelbagai kejayaan.
“Tema retreat kali ini, ‘Six Decades of Impact: Align, Elevate, Execute’, membawa mesej yang mudah. Kita kena jelas dengan matlamat, sentiasa cari jalan untuk buat lebih baik dan paling penting, pastikan apa yang dirancang benar-benar menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh pasukan MIDA atas usaha mereka selama ini.
“Sebagai Pengerusi, saya mahu kita terus bekerja sebagai satu pasukan, daripada Lembaga Pengarah hinggalah kepada setiap warga MIDA.
“Sebab akhirnya, rakyat bukan nak dengar angka pelaburan semata-mata. Mereka nak rasa hasilnya dalam kehidupan seharian,” katanya.
