KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat tidak mahu dan enggan proses bedah siasat dijalankan ke atas anaknya walaupun sudah dimaklumkan serta dijelaskan berhubung perkara itu.
Pegawai penyiasat, Wong Yew Zhung, berkata beliau memaklumkan dan menjelaskan kepada Noraidah, 46, bahawa bedah siasat akan dijalankan bagi membantu siasatan kes kematian Zara ketika berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Saksi ke-83 dalam prosiding inkues kematian remaja itu menjelaskan sekali lagi kepada Noraidah berhubung proses bedah siasat, namun wanita itu berkeras menjawab: "Tidak mahu. Saya mahu kebumikan dia (Zara) dengan segera.”
Beliau berkata, beberapa keping gambar turut diambil jurugambar semasa perjumpaan dan lawatan ke Wad Neurosurgeri HQE untuk tujuan rekod serta dokumentasi.
"Ketika itu, oleh kerana ibu Zara enggan bedah siasat dijalankan dan punca kematian telah dikenal pasti, tidak ada borang POL 61, iaitu dokumen permohonan oleh polis untuk menjalankan bedah siasat dikeluarkan," katanya ketika membaca keterangan saksinya di depan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Wong berkata, Noraidah turut menandatangani beberapa dokumen berkaitan pada 17 Julai 2025, sebelum jenazah Zara diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
Jelasnya, dokumen itu ialah Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat atas Kemahuan Sendiri yang memperakui tidak mahu bedah siasat dijalankan, memperakui tidak mengesyaki apa-apa perbuatan jenayah atas kematian dan tidak akan menuntut sebarang laporan bedah siasat daripada pihak hospital atas tujuan medico-legal, tuntutan insurans dan tuntutan lain.
Katanya, Borang Notifikasi Kematian dan Pengendalian Jenazah sebagai akuan penerimaan jenazah dan Surat Akuan Pengesahan Pengurusan Perkhidmatan Jenazah turut ditandatangani ibu Zara pada tarikh sama.
"Selepas berjumpa dengan ibu Zara, saya kembali ke pejabat untuk mengemas kini kes. Saya tiba di pejabat di IPD Papar pada 6.54 petang dan menerima arahan mengklasifikasikan kes kematian itu sebagai mati mengejut serta menjadi pegawai penyiasat dalam siasatan tersebut."
Wong berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang doktor pada 1.35 tengah hari 17 Julai 2025 memaklumkan Zara disahkan meninggal dunia pada 1.07 tengah hari dan sebab kematian pelajar itu ialah kecederaan otak trauma teruk dengan komplikasi hipoksia-iskemia.
Beliau dan jurugambar bertugas telah ke HQE dan tiba di hospital itu pada 3.30 petang sebelum berjumpa seorang doktor bersebelahan katil Zara dengan Noraidah turut berada di situ.
Zara meninggal dunia di HQE pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
