KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) gagal dalam rayuannya terhadap perintah 'cease and desist' yang melarangnya daripada mengeluarkan kenyataan awam serta mengadakan piket berhubung pertikaian dengan Malayan Banking Bhd (Maybank).
Hakim Mahkamah Tinggi Norliza Othman menolak rayuan itu hari ini dengan kos sebanyak RM10,000.
Dalam alasan ringkas penghakimannya, Norliza berkata, perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Perusahaan itu bukanlah suatu injunksi seperti yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil di bawah Akta Relif Spesifik 1950.
Mahkamah Perusahaan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan injunksi sedemikian, katanya.
Sebaliknya, ia perintah sampingan yang dibuat di bawah Seksyen 28 dan 29(g) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bagi mengekalkan status quo, mengelakkan ketegangan daripada memuncak, serta memastikan prosiding berjalan lancar.
Sekatan tersebut juga bertujuan mengelakkan 'trial by media' selagi pertikaian itu belum selesai, di samping memelihara integriti prosiding Mahkamah Perusahaan.
Norliza bersetuju bahawa tindakan menafikan kuasa Mahkamah Perusahaan untuk memastikan prosidingnya berjalan lancar akan menjejaskan objektif undang-undang dan menjadikannya seolah-olah 'harimau tanpa taring'.
Beliau turut menolak hujah NUBE bahawa perintah itu mendahului keputusan pertikaian itu, menegaskan bahawa ia sekadar perintah interim dan tiada sebarang penemuan dibuat terhadap merit dakwaan terhadap Maybank.
Menyentuh mengenai kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Norliza berkata, hak tersebut bukanlah mutlak dan boleh dihadkan.
Beliau bersetuju bahawa hantaran di platform awam dan piket oleh kesatuan itu menyentuh perkara pokok yang sedang dibicarakan di Mahkamah Perusahaan, berisiko menjejaskan prosiding terbabit.
Sekatan tersebut adalah perlu bagi memastikan pertikaian berkenaan dapat didengar dan diputuskan secara adil, katanya.
Pertikaian itu timbul susulan dakwaan gangguan seksual yang dibuat oleh seorang bekas pekerja bank terhadap rakan sekerjanya.
Walaupun isu itu telah ditangani pada 2021, ia timbul semula pada 2024 semasa satu proses aduan yang berasingan, sekali gus mencetuskan kempen awam dan piket oleh pihak NUBE.
Kesatuan itu meneruskan tindakannya selepas pertikaian tersebut dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, lantas mendorong Maybank memohon relif interim di bawah Seksyen 29(g) dan 30 akta berkenaan.
Janice Anne Leo, Chong Jen Hui dan Adrienne Sena hadir mewakili Maybank, manakala Ravi Nekoo dan Arvinkumar Mohan tampil bagi pihak NUBE.
