PETALING JAYA: Banduan didakwa di Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan membunuh banduan lain dalam kejadian di Penjara Marang, pada Ogos lalu.
Pertuduhan terhadap Che Mohd Nazzaruddin Che Ros, 36, dibacakan di hadapan Majistret Athirah Hashim dengan tiada pengakuan direkodkan, lapor Kosmo.
Berdasarkan pendakwaan, Che Mohd Nazzaruddin didakwa membunuh Nor Mohd Helmi Sahari, 38, di Zon 2, bilik R10, Penjara Marang, pada 8.45 pagi hingga 9.15 pagi, 24 Ogos lalu.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun jika sabit kesalahan. Kes disebut semula pada 10 Dis ini.
Dalam prosiding berasingan, dua lagi banduan, Mohd Fadli Che Mansor, 36, dan Nor Dhitauddin Afiq Norwadi, 22, didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan terhadap Nor Mohd Helmi di lokasi dan masa sama.
Mereka mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan selesai dibacakan di hadapan majistret sama.
Berdasarkan pertuduhan, keduanya didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
