PETALING JAYA: Perintah Mahkamah Tinggi yang menangguhkan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) membolehkan gabungan itu terus berfungsi dan beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah parti politik, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Mengulas surat yang dihantar Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali hari ini, Takiyuddin berkata beliau tidak bersetuju dengan tafsiran Azmin terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Beliau berkata, perintah mahkamah itu menangguhkan pelaksanaan perintah penggantungan dikeluarkan JPPM serta prosiding lanjut untuk membatalkan pendaftaran PN sementara menunggu pelupusan muktamad permohonan semakan kehakimannya.
Takiyuddin berkata, rayuan yang difailkan JPPM dan menteri dalam negeri terhadap perintah itu tidak menjejaskan status PN.
“Seperti yang dinasihatkan panel peguam PN, Kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 memperuntukkan bahawa sesuatu rayuan tidak berfungsi sebagai penangguhan pelaksanaan keputusan yang dirayu melainkan jika diperintahkan oleh mahkamah,” katanya dalam surat kepada Azmin yang dilihat FMT.
Terdahulu, Azmin berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan malam ini mungkin melanggar Akta Pertubuhan 1966, memandangkan Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penangguhan itu tidak bermaksud status gabungan berkenaan dipulihkan secara automatik.
Beliau menyatakan bahawa JPPM dan menteri dalam negeri telah memfailkan rayuan terhadap perintah penangguhan itu. Katanya, Bersatu berpendirian bahawa memandangkan notis rayuan telah difailkan, 'semua pihak hendaklah mengekalkan status quo keputusan JPPM sehingga semua peringkat prosiding selesai'.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata mahkamah tidak memerintahkan supaya notis rayuan yang difailkan JPPM dan menteri dalam negeri itu berfungsi sebagai penangguhan pelaksanaan keputusan.
Beliau berkata, wakil Bersatu masih dialu-alukan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk menyuarakan pandangan dan mengundi, selaras dengan jemputan yang diberikan kepada Bersatu sebelum ini bagi menghadiri mesyuarat PN.
Katanya, sekiranya wakil Bersatu memilih untuk tidak hadir, keputusan itu merupakan pilihan parti berkenaan sendiri dan akan direkodkan sedemikian.
Layanan berbeza dikenakan terhadap PN dan Bersatu
Takiyuddin turut menjawab tuntutan Azmin supaya kepimpinan PN menyatakan pendirian berhubung isu mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu sendiri yang gagal memenuhi kuorum ditetapkan. Azmin mendakwa kepimpinan PN menggunakan perkara itu sebagai alasan untuk menafikan hak Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Julai lalu.
Beliau berkata, memandangkan PN menerima keputusan JPPM bahawa pendaftar itu tidak boleh campur tangan dalam pertikaian berhubung Majlis Tertinggi Bersatu kerana ia merupakan urusan dalaman parti, PN telah menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 20 September.
Katanya, 'standard yang sama tidak dikenakan' terhadap PN apabila urusan dalaman gabungan itu, termasuk persoalan pihak yang berhak menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai, dijadikan asas kepada notis, perintah penggantungan dan perintah pembatalan pendaftaran susulan aduan Bersatu.
Takiyuddin turut mempertikaikan dakwaan Azmin bahawa JPPM mengesahkan status Bersatu sebagai parti komponen PN yang sah menerusi surat bertarikh 12 Ogos, dengan berkata surat itu tidak pernah diserahkan kepada PN.
“Jika surat sedemikian wujud, ia dikeluarkan sehari selepas aduan Bersatu diterima JPPM pada atau sekitar 11 Ogos, sebelum sebarang notis dikeluarkan kepada PN dan sebelum penjelasan PN bertarikh 19 Ogos dipertimbangkan,” katanya.
Beliau meminta Azmin memberikan salinan surat itu serta aduan yang dikemukakan Bersatu kepada JPPM pada atau sekitar 11 Ogos, termasuk semua lampiran, kepada PN dalam tempoh tiga hari.
JPPM menggantung PN pada 23 September sebelum membatalkan pendaftaran gabungan itu pada Selasa lalu susulan aduan Bersatu terhadap kepimpinan gabungan berkenaan. Mahkamah Tinggi menggantung pelaksanaan keputusan itu dua hari kemudian.
