PETALING JAYA: Masyarakat tidak seharusnya menganggap semua masalah infrastruktur menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja kerana bidang kuasa, pelaksanaan dan pembiayaannya boleh melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri.

Ahli akademik Ramli Dollah daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, pembahagian tanggungjawab antara kedua-dua peringkat kerajaan secara asasnya sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu menekankan pembahagian kuasa itu ditetapkan menerusi Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat perlu berhati-hati supaya tidak terus menganggap semua masalah infrastruktur adalah tanggungjawab satu kerajaan sahaja.
“Kita perlu bezakan tiga perkara: siapa mempunyai bidang kuasa, siapa melaksanakan projek dan siapa menyediakan wang. Kadang-kadang tiga perkara ini melibatkan kerajaan yang berbeza,” katanya kepada FMT.
Secara umum bidang seperti pertahanan, keselamatan dalam negeri, pendidikan serta perubatan dan kesihatan berada di bawah kerajaan persekutuan.
Sementara itu, negeri pula bertanggungjawab dalam aspek tanah, pertanian, perhutanan dan kerajaan tempatan manakala kedua-duanya mengurus kebajikan masyarakat, perancangan bandar dan desa serta beberapa aspek kesihatan awam.
Sehubungan itu, Ramli menekankan pembahagian itu bermakna sesuatu masalah tidak boleh dikaitkan dengan kerajaan tertentu hanya berdasarkan lokasi ia berlaku.
Sebagai contoh, tanah dan perhutanan merupakan bidang kuasa negeri yang bermaksud isu berkaitan pengurusan hutan sert sumber balak perlu dilihat berdasarkan tanggungjawab kerajaan negeri berkenaan.
Pada masa sama, kerajaan persekutuan turut menyalurkan pelbagai bentuk pemberian kepada negeri untuk membantu membiayai tanggungjawab dan pembangunan di peringkat negeri.
Mac lalu, Majlis Kewangan Negara (MKewN) bersetuju menambah baik pemberian kerajaan persekutuan kepada negeri yang dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini, berbanding RM10.3 bilion pada 2025.
Antaranya melibatkan Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri dan agihan Cukai Pelancongan.
Jalan dan bekalan air
Jalan raya antara contoh paling mudah untuk melihat bagaimana tanggungjawab antara kerajaan persekutuan dan negeri dibahagikan.

Jalan persekutuan berada di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, manakala jalan negeri diuruskan kerajaan negeri dan jalan tertentu pula berada di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Namun, tanggungjawab negeri terhadap jalan tidak bermakna semua kos ditanggung menggunakan sumber negeri.
Putrajaya turut menyalurkan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) untuk membantu membiayai kerja penyenggaraan jalan negeri.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan persekutuan menyediakan RM5.6 bilion menerusi MARRIS bagi penyenggaraan jalan negeri di seluruh negara, selain RM2.5 bilion untuk penyenggaraan jalan persekutuan.

Bagi bekalan air pula, ahli ekonomi Aimi Zulhazmi Abdul Rashid daripada Universiti Kuala Lumpur pula berkata tanggungjawabnya turut melibatkan lebih daripada satu pihak.
Sumber air dan sungai kekal di bawah bidang kuasa negeri, manakala perkhidmatan serta bekalan air di Semenanjung dan Labuan berada dalam Senarai Bersama selepas pindaan Perlembagaan pada 2005.
Menurut Aimi, keadaan itu boleh mewujudkan apa yang dikenali sebagai “split incentive”, apabila pihak yang menyediakan modal bagi pembangunan infrastruktur tidak semestinya menerima manfaat atau pulangan secara langsung daripada pelaburan itu.
Katanya, rakyat juga boleh melihat skala sesuatu masalah untuk memahami pihak yang lebih berkait dengannya, dengan isu melibatkan rantaian bekalan lebih luas boleh memerlukan penglibatan persekutuan, manakala isu setempat lebih dekat dengan pentadbiran negeri.
Sekolah dan hospital
Pendidikan dan kesihatan pula antara bidang utama di bawah kerajaan persekutuan walaupun sekolah, hospital dan klinik kerajaan terletak serta beroperasi di negeri.
Ini bermakna kewujudan sesebuah sekolah atau hospital dalam negeri tertentu tidak secara automatik menjadikannya tanggungjawab kerajaan negeri.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan, termasuk RM1.2 bilion bagi penyenggaraan dan baik pulih hospital serta klinik kerajaan dan RM100 juta untuk menaik taraf wad hospital daerah.
Bagi sektor pelajaran dan latihan pula, perbelanjaan persekutuan pada 2026 dianggarkan RM74.37 bilion.
Sabah dan Sarawak
Namun, pembahagian kuasa sedikit berbeza bagi Sabah dan Sarawak kerana kedua-duanya mempunyai bidang kuasa tambahan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain Senarai Negeri dan Senarai Bersama, kedua-dua negeri mempunyai Senarai Tambahan kepada Senarai Negeri dan Senarai Tambahan kepada Senarai Bersama.
Ramli berkata kedudukan itu berkait dengan pembentukan Malaysia pada 1963, yang menyaksikan Sabah dan Sarawak mempunyai beberapa bidang kuasa serta sumber hasil berbeza berbanding negeri di Semenanjung.
Namun, katanya, bidang kuasa dan sumber hasil tambahan itu tidak bermakna kerajaan persekutuan tidak lagi terlibat dalam membiayai pembangunan serta perkhidmatan di kedua-dua negeri.
Dalam Belanjawan 2026, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan persekutuan tertinggi, masing-masing RM6.9 bilion dan RM6 bilion.
Pada November 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, berkata Sabah merekodkan 1,244 projek pembangunan persekutuan manakala Sarawak mempunyai 1,124 projek, tertinggi di negara ini.
Namun, kadar perbelanjaan setakat Oktober tahun berkenaan masing-masing hanya 46.7% dan 54.43%.
Antara faktor yang boleh melambatkan pelaksanaan projek termasuk pengambilan tanah, masalah logistik, bentuk muka bumi yang mencabar serta penyelarasan antara agensi.
Justeru, kadar perbelanjaan yang rendah tidak semestinya berpunca daripada kekurangan peruntukan persekutuan, sebaliknya boleh dipengaruhi pelbagai kekangan pada peringkat pelaksanaan.
