PETALING JAYA: Keluarga tiga lelaki yang meninggal dunia dalam penjara menuntut inkues dijalankan segera bagi menyiasat kematian mereka selepas permintaan berulang kali dikemukakan kepada pihak berkuasa tidak mendapat sebarang maklum balas.
Pengerusi NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), M Visvanathan, yang mewakili keluarga R Richard, G Murthy dan MM Muniandy, berkata keluarga mereka beberapa kali menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan serta Mahkamah Koroner, tetapi sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
Visvanathan menggesa Jabatan Peguam Negara menggunakan Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah bagi mengarahkan koroner mengadakan inkues terhadap tiga kematian itu.
Tegasnya, inkues perlu diadakan setiap kali berlaku kematian dalam tahanan, sama ada di lokap polis atau penjara.
Richard, 34, yang menghidap skizofrenia dan berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) ditahan pada 16 Ogos 2025 atas dakwaan merosakkan harta benda dan dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh.
Kakaknya, R Remecca, berkata keluarga mereka hanya tahu tentang kematiannya kira-kira sebulan kemudian, selepas dimaklumkan Richard ditemui tidak sedarkan diri dalam penjara sebelum dibawa ke hospital.
Menurutnya, beliau telah menemui pihak polis dan penjara untuk mendapatkan penjelasan, tetapi tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan.
"Mereka asyik ubah cerita. Saya tidak berpuas hati dengan jawapan mereka. Laporan forensik menyatakan tiada kecederaan luaran, tetapi terdapat bebarapa kecederaan dalaman. Saya tidak pasti sama ada dia dalam keadaan baik atau ada orang memukulnya dalam penjara."
Murthy, yang juga dilaporkan mempunyai masalah kesihatan mental, meninggal dunia pada 8 Mac 2025 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Visvanathan berkata, keluarga Murthy tidak dimaklumkan mengenai penahanannya dan bimbang dengan rawatan perubatan yang diterimanya sepanjang dalam tahanan.
Sementara itu, Muniandy yang ditahan di Penjara Kajang meninggal dunia pada 13 April lalu. Isterinya, R Meenambigai, berkata suaminya ditahan berhubung kes keganasan rumah tangga dan beliau berharap suaminya akan kembali ke pangkuan keluarga selepas menjalani pemulihan.
Visvanathan berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan trauma akibat hentakan objek tumpul pada leher Muniandy, yang menyebabkan keradangan pada saluran pernafasannya. Muniandy kemudiannya menjalani prosedur trakeostomi dan dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk tempoh lama sebelum meninggal dunia.
Visvanathan menggesa koroner mendapatkan dokumen siasatan diperlukan daripada pihak berkuasa untuk prosiding inkues ke atas tiga kematian itu.
