KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mengadaptasi model gaji dan kuota pekerja asing Singapura yang antara lain tidak membenarkan kuota pengambilan pekerja luar, selagi tidak mencapai tahap dikehendaki menggaji pekerja tempatan.
Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), berkata langkah itu penting bagi membolehkan pasaran tempatan membezakan taraf gaji mengikut kelayakan dan kemahiran, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan rakyat secara mampan.
“Di Singapura, mereka menggunakan 'local qualifying salary' (LQS) di samping mempunyai sistem nisbah antara pengambilan pekerja tempatan dengan pekerja asing atau 'dependency ratio ceiling' (DRC).
"Selagi tidak mencapai tahap dikehendaki untuk pekerja tempatan, syarikat tidak layak mendapatkan kuota ambilan pekerja asing. Cara LQS dan DRC ini jika diadaptasi ke Malaysia boleh membantu membezakan taraf gaji, malahan berpotensi menambah pendapatan rakyat," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Meskipun menyambut baik kenaikan gaji minimum RM2,000, Wee membangkitkan kebimbangan wujudnya pasaran buruh 'dua darjat' memandangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan bawah RM50 juta, dikecualikan dan kekal pada kadar RM1,700.
Katanya, pengecualian di atas kertas itu tidak akan mampu menahan arus pasaran kerana pekerja berkemahiran tetap akan berhijrah ke syarikat besar yang berkeupayaan membayar gaji lebih tinggi.
"Inilah dua darjat pekerja yang saya bimbangkan. Pekerja berkemahiran sudah tentu akan berhijrah ke syarikat yang mampu membayar lebih.
"Akhirnya, PKS tetap terpaksa menaikkan gaji untuk mengekalkan pekerja walaupun margin keuntungan mereka sudah menipis," katanya sambil memetik data Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) yang mendedahkan tujuh daripada 10 PKS kini hanya mempunyai rizab tunai kurang enam bulan.
Beliau memberi amaran risiko penutupan perniagaan adalah nyata, sekiranya kos buruh, kenaikan bil elektrik, dan cukai bertindih menekan sektor itu secara serentak.
Justeru, beliau menyeru kerajaan memfokuskan kenaikan gaji berteraskan peningkatan produktiviti, bukan sekadar arahan pentadbiran semata-mata.
"Gaji mesti naik melalui produktiviti. Terbitkanlah kajian impak Majlis Perundingan Gaji Negara dan tetapkan tarikh tamat pengecualian PMKS dengan notis sekurang-kurangnya 12 bulan.
"Beri juga potongan cukai tambahan kepada PMKS yang melabur dalam automasi dan latihan untuk menaikkan gaji pekerja," katanya.
