PETALING JAYA: Sebuah pasukan petugas khas Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan ditubuhkan bagi memantau perkembangan jerebu dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai sebelum sesi persekolahan bermula seperti biasa.
Exco Pendidikan dan Penerangan Naqib Ghazali berkata, penubuhan pasukan khas itu dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor yang dipengerusikannya pagi tadi.
Menurutnya, mesyuarat yang dihadiri pelbagai pihak dan agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut bersetuju untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi.
Beliau menekankan kepentingan pemakluman lebih awal berhubung sebarang keputusan penutupan atau pembukaan semula sekolah, tertakluk kepada prosedur Kementerian Pendidikan (KPM).
"Ini bagi memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada ibu bapa, penjaga, guru dan pihak sekolah untuk membuat persediaan," katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Bernama.
Mengulas lanjut, Naqib berkata, mesyuarat hari ini memberi tumpuan kepada penyelarasan tindakan yang lebih menyeluruh dalam menghadapi situasi jerebu di negeri itu.
Antara aspek yang diberi perhatian khusus termasuk pengoperasian sekolah, keselamatan murid serta kebajikan ibu bapa dan seluruh warga pendidik di negeri ini, tambahnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, JPBN turut dicadangkan supaya memantau dan menilai situasi jerebu secara harian.
Beliau berkata, setiap keputusan dan maklumat rasmi menerusi penilaian tersebut juga perlu disampaikan kepada rakyat secara jelas, tepat serta konsisten.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya memahami kebimbangan ibu bapa terhadap tahap kesihatan anak-anak serta cabaran yang dihadapi guru dan pihak sekolah dalam menguruskan sesi pembelajaran sepanjang situasi jerebu.
Bagaimanapun, katanya, setiap keputusan yang diambil bukan sekadar melihat kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), sebaliknya turut mengambil kira keadaan persekitaran, risiko kesihatan, keselamatan murid serta kesiapsiagaan semua pihak.
Naqib memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi terlibat bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara teratur, bersepadu dan berpandukan penilaian semasa bagi memastikan persekitaran pembelajaran benar-benar selamat.
