Bengkel seni telepuk di Royal Selangor menghidupkan semula warisan tekstil Melayu melalui teknik hiasan emas tradisional, pameran bersejarah dan inovasi kraf
KUALA LUMPUR: Peluang mencuba sendiri seni telepuk, iaitu seni menghias kain menggunakan emas, menjadi pengalaman berharga buat penulis ketika menyertai bengkel telepuk di Royal Selangor Visitor Centre, Setapak, di sini baru-baru ini.
Pertama kali menyertai bengkel anjuran Royal Selangor dengan bimbingan Langkasuka Movement, sebuah pertubuhan kebudayaan yang berdedikasi untuk memelihara, mendokumentasikan dan menghidupkan semula seni warisan serta kraf tradisional Melayu, penulis sebelum ini hanya mendengar nama seni telepuk tanpa mengetahui cara penghasilan.
Pengalaman itu bermula dengan penyediaan fabrik berpermukaan licin, disusuli penyapuan gam akasia semula jadi pada lengan sebelum ditekap dengan acuan kayu berukir. Langkah ini bertujuan memastikan lapisan gam pada acuan itu adalah nipis dan sekata.
Acuan kemudian ditekap pada kain bagi memindahkan motif bergam, dan dengan tunjuk ajar artisan, penulis bersama-sama 18 peserta lain seterusnya melekapkan kepingan emas tulen pada bahagian kain yang bergam sebelum memberusnya perlahan-lahan untuk menanggalkan lebihan emas sehingga motif bunga kelihatan jelas.
Pengalaman itu memberikan penulis pemahaman tentang ketelitian dan kesabaran yang diperlukan oleh penggiat seni terdahulu untuk menghasilkan kain telepuk yang menghiasi busana kebesaran diraja.
Bagi ahli perniagaan Winston Tham, 50, dari Ampang, Selangor, bengkel itu membuka ruang kepadanya untuk mengenali telepuk serta menghargai hasil kraf tangan generasi terdahulu.
“Tak kenal maka tak cinta. Dulu saya tidak tahu telepuk itu apa. Kalau tiada orang meneruskannya, seni ini akan hilang. Mungkin di sekolah, cikgu boleh adakan kursus untuk murid mencuba sendiri kraf tangan ini,” katanya kepada Bernama.

Seni telepuk, warisan kraf tradisional Melayu yang menggunakan kepingan emas untuk menghiasi kain, diketengahkan menerusi bengkel bagi memperkenalkan dan memelihara keunikan seni warisan yang semakin dilupakan ini.- BERNAMA
Pengasas bersama Langkasuka Movement Intan Jailani berkata telepuk ialah seni menerapkan emas pada kain yang melibatkan empat kemahiran, iaitu menenun, mengukir kayu, menggerus dan menelepuk.
“Dokumentasi dan pendedahan secara fizikal begini amat penting kerana seni telepuk pernah terhenti dan tidak dipraktikkan hampir 90 tahun. Tanpa rekod dan latihan secara praktikal, kraf warisan ini boleh hilang terus daripada ingatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata siri bengkel itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menjadi platform berkesan untuk memupuk kesedaran awam terhadap pemeliharaan kraf tradisional.
“Saya berharap dapat menyebarkan lagi pengetahuan mengenai telepuk ini sebelum saya meninggalkan dunia ini. Saya nak tinggalkan satu pengetahuan yang boleh diteruskan,” katanya, yang turut mengusahakan buku ketiga berkenaan telepuk, khususnya tentang sarang dan reka corak motif seni itu.
Bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian pameran Telepuk: The Imprint of Heritage yang dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Pameran itu berlangsung di Royal Selangor Visitor Centre dari 27 Ogos hingga 31 Dis depan.
Pameran itu mengetengahkan kehalusan seni telepuk menerusi paparan tekstil, blok cap kayu berukir, bahan dan peralatan, selain demonstrasi yang membolehkan pengunjung memahami proses menghasilkan motif berhias daun emas pada kain.
Tarikan utamanya termasuk sepersalinan baju diraja pertengahan abad ke-19 yang dikenali sebagai Baju Sikap, dikaitkan dengan Sultan Sir Abdul Samad dan dipinjamkan oleh Jabatan Muzium Malaysia.
Turut dipamerkan ialah set yang mengandungi 77 blok kayu telepuk yang diukir antara 1920 hingga 1923 dan dimiliki Sultan Ala’eddin Suleiman Shah dari Selangor. Set itu disimpan di Muzium Victoria dan Albert di London serta pernah dipamerkan pada Pameran Empayar British di Wembley pada 1924 dan 1925.

Selain busana dan blok telepuk bersejarah, pameran itu turut mengetengahkan percubaan menggunakan bahan lain untuk menghasilkan hiasan pada kain menerusi teknik telepuk.
Seorang lagi pengasas bersama Langkasuka Movement, Abdul Razak Aziz berkata idea penggunaan kepingan timah tercetus hasil perbincangan pihaknya dengan Royal Selangor serta penelitian terhadap catatan lama yang menyebut penggunaan bahan itu selain emas dan perak dalam seni telepuk.
Beliau berkata pihaknya kemudian mencadangkan Royal Selangor mengkaji kaedah menipiskan timah sehingga menjadi kepingan yang sesuai digunakan untuk menelepuk pada fabrik dan tanjak.
“Alhamdulillah, mereka menerima cabaran itu dan dapatlah usaha kita menggunakan kepingan timah untuk ditelepukkan pada tanjak dan sebagainya. Itu kali pertama kami buat,” katanya.

Abdul Razak berkata berbeza dengan kepingan emas yang nipis dan lembut, timah mempunyai sifat lebih keras serta tidak dapat dinipiskan seperti emas, sekali gus memberikan kesan hiasan dan pilihan warna yang berbeza apabila dipadankan dengan kain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan kepingan timah tersebut merupakan satu langkah eksperimen dan inovasi kraf yang belum ditawarkan untuk jualan komersial.
“Langkah ini bertujuan untuk memperkaya nilai estetika serta kepelbagaian medium kraf warisan tanpa menjejaskan keaslian dan tujuan asal reka bentuk seni telepuk itu sendiri,” katanya.
Selain percubaan pada tekstil, Royal Selangor turut menterjemahkan enam reka corak daripada blok kayu telepuk berusia lebih 100 tahun kepada plak piuter menerusi Telepuk Collector’s Set, selain menghasilkan dua rekaan pelapik gelas bermotif telepuk.
