SHAH ALAM: Polis sedang memburu lima lagi lelaki bagi membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan seorang penjual durian yang mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih bulan lepas.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata semua lelaki terbabit dipercayai masih berada di Malaysia, selain mempunyai rekod jenayah dan dadah serta terbabit dalam kegiatan gangsterisme.
“Kita percaya ada di dalam kawasan Malaysia lagi,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.
Dalam kejadian pada 24 Sept lalu, mangsa dilarikan beberapa individu dari kawasan Ampang Waterfront antara 4 pagi hingga 4.30 pagi. Isteri mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya, sebelum polis melancarkan operasi mencari dan mengesan suspek.
Shazeli berkata operasi itu membawa polis ke lokasi berhampiran Semenyih pada 27 Sept, tempat mangsa dipercayai dibunuh dan ditanam. Siasatan mendapati motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham dan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek.
“Siasatan mendapati disebabkan berlaku perselisihan faham di antara si mati dengan suspek-suspek yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata mangsa dipercayai dikurung di sebuah kediaman lain sebelum dibunuh, namun tempoh sebenar mangsa berada dalam tahanan dan waktu pembunuhan tidak dapat dipastikan.
"Bedah siasat mendapati punca kematian ialah beberapa luka akibat senjata tajam pada leher mangsa,” katanya yang turut mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Polis sebelum ini menahan 15 individu berusia 20 hingga 48 tahun antara 24 dan 27 September, terdiri daripada 12 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan dua lelaki warga asing. Dua laras senapang, sebuah Proton Wira dan cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mangsa turut dirampas.
Susulan penahanan itu, empat daripada mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi semalam atas pertuduhan membunuh dan bersubahat dalam pembunuhan penjual durian terbabit.
