Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menggesa kerajaan negeri mempercepat pewartaan lebih 15,000 hektar tanah lapang awam yang belum diwartakan.
PUTRAJAYA: Lebih 15,000 hektar atau 64.47 peratus tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan, masih belum diwartakan atau dalam proses pewartaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata semua kerajaan negeri digesa supaya mempercepat proses pewartaan tanah lapang awam, bagi memastikan kawasan hijau yang diperuntukkan terus terpelihara dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat, khasnya mewujudkan ruang hijau di kawasan kepadatan penduduk.
Nga berkata sebanyak 23,297.15 hektar tanah lapang awam telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan sehingga Disember 2025. Namun begitu, hanya 35.53 peratus atau 8,278.44 hektar sahaja yang telah diwartakan setakat ini.
“Kawasan seluas 15,018.72 hektar lagi, bersamaan 64.47 peratus masih belum diwartakan atau masih dalam proses pewartaan. Keadaan ini memerlukan perhatian dan tindakan susulan kerajaan negeri bagi mempercepat proses berkenaan selaras dengan pembangunan lestari alam sekitar Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nga berkata tanah lapang awam bukan sekadar kawasan riadah dan rekreasi, malah merupakan aset penting yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
“Kawasan lapang ini juga berperanan menjadi zon hijau yg menyerap air larian permukaan, bagi membantu mengurangkan risiko banjir kilat, selain menyediakan tapak rekreasi yang meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Nga berkata pewartaan amat penting bagi melindungi tanah lapang awam daripada pencerobohan, pertukaran guna tanah yang tidak bersesuaian serta masalah pengurusan dan penyelenggaraan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Justeru, beliau menyeru supaya kerajaan negeri mempergiat usaha pewartaan selaras dengan peruntukan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara [Akta 828], memandangkan urusan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“KPKT menerusi PLANMalaysia akan terus memantau status pewartaan tanah lapang awam bersama-sama pihak berkaitan, bagi menyokong pembangunan bandar yang lebih mampan, berdaya huni dan mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
