KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneliti Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengenal pasti ruang perundangan untuk membangunkan kerangka kawal selia khusus bagi membendung kegiatan ‘ulat tiket’.
Timbalan Menteri, Fuziah Salleh, berkata kajian itu turut merangkumi penelitian undang-undang di beberapa negara lain bagi mengenal pasti pendekatan sesuai dengan keperluan Malaysia.
Katanya, ketika ini negara masih belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus yang menangani aktiviti ulat tiket secara menyeluruh.
"Kajian turut meneliti undang-undang dilaksanakan beberapa negara lain termasuk Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan dan Singapura bagi mengenal pasti pendekatan kawal selia yang bersesuaian dengan keperluan negara,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kajian itu disasarkan untuk dimuktamadkan sebelum peraturan berkaitan dibawa ke peringkat pelaksanaan tahun depan.
Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada amalan penjualan tiket pada harga jauh lebih tinggi daripada harga asal, selain mengurangkan risiko penipuan.
"Antara aspek diberi perhatian ialah penetapan takrifan scalping, kawalan pembelian tiket secara pukal menerusi platform dalam talian. Apabila berlaku pembelian tiket secara pukal sama ada melalui 'bot' atau individu, di sini berlaku penjualan secara sekunder dan wujudnya keadaan scalping ini.
"Selain itu, kita juga akan kaji kemungkinan pengesahan identiti pembeli serta pemegang tiket, dan kesesuaian mekanisme kawalan harga serta peruntukan antipencatutan sedia ada," katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai kajian dilaksanakan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kegiatan 'ulat tiket'.
Fuziah berkata, pihaknya turut meneliti cabaran penguatkuasaan supaya peraturan bakal diwujudkan bukan sahaja dapat dilaksanakan secara berkesan, malah mengambil kira ciri transaksi tiket berbeza khususnya bagi acara yang berlangsung sekali sahaja.
Sementara peraturan khusus itu dibangunkan, katanya, KPDN akan terus mempergiat advokasi pengguna dan mengadakan libat urus dengan penganjur acara bagi menggalakkan amalan penjualan tiket yang lebih telus, termasuk penyampaian maklumat terma dan syarat pembelian yang jelas kepada pengguna.
Beliau berharap pewujudan peraturan itu dapat menyediakan mekanisme kawal selia lebih bersesuaian untuk menangani aktiviti 'ulat tiket', di samping memperkukuh perlindungan hak pengguna dalam urusan pembelian.
