PETALING JAYA: Sebanyak 358 kes dilaporkan di Selangor berhubung kesalahan merokok dan penggunaan vape di kawasan larangan merokok menerusi sistem MyLapor yang dilancarkan sejak 12 Okt lalu.
Orang ramai boleh melaporkan kesalahan merokok dan penggunaan vape di kawasan larangan merokok kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui saluran aduan digital MyLapor yang mula beroperasi Isnin lalu bagi membantu penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Orang ramai boleh membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera, mengimbas kod QR MyLapor yang dipamerkan di premis atau menggunakan laman sesawang MyLapor.
Program Kesihatan Awam KKM dalam kenyataan memaklumkan Kuala Lumpur mencatatkan aduan kedua tertinggi dengan 210 kes, diikuti Johor 160 aduan.
KKM berkata, kebanyakan aduan tertumpu di kawasan tempat makan yang kini terus diberi perhatian utama dalam aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan.
"Secara keseluruhannya, sebanyak 1,113 aduan diterima menerusi sistem MyLapor sehingga 2 petang 15 Okt.
"Daripada jumlah itu, 471 aduan ditutup, manakala 347 ialah aduan baharu, 232 dalam siasatan dan 63 dalam proses penyelesaian serta maklum balas," katanya menurut Berita Harian.
Menurutnya, 216 kompaun sudah dikeluarkan hasil tindakan penguatkuasaan berhubung kesalahan di bawah Akta 852.
Jelasnya, KKM menyasarkan 48 jam bagi proses verifikasi dan penyelesaian aduan, merangkumi semakan, pengesahan maklumat serta tindakan susulan oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Bagi kes aduan lebih kompleks, ia dijangka mengambil masa sehingga dua minggu untuk diselesaikan secara menyeluruh."
