PETALING JAYA: PKR sah akan bertanding sembilan kerusi pada PRN Melaka bulan depan, kata Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh.
"Calon kita lebih kurang sudah dimuktamadkan, insya-Allah. Setakat ini, kita akan bertanding di sembilan kerusi dan Pakatan Harapan (PH) tentunya akan bertanding lebih banyak kerusi.
"Perkara paling penting bagi kita di Melaka adalah memastikan persiapan sudah dilakukan dan kita akan memberikan saingan yang sangat baik, insya-Allah," katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Perasmian Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Zon Selatan di Johor Bahru.
Beliau berkata, senarai calon PKR akan diumumkan Presidennya, Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH dalam Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera PH PRN Melaka di tapak parkir Stadium Hang Jebat, Melaka, pada 8 malam 24 Okt ini.
Fuziah berkata, tiada persefahaman rasmi dimeterai dengan mana-mana parti setakat ini, tetapi PKR mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada pihak lain yang mahu membantunya pada PRN Melaka.
"Kalau ada pihak yang mahu membantu, kita amat mengalu-alukan."
Hari penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Okt ini dan hari mengundi pada 14 Nov nanti.
Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi, dengan Barisan Nasional memenangi 21 kerusi, PH (5) dan Perikatan Nasional (2) pada PRN lalu.
