KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Israel.
Perkara itu antara yang dibincangkan sewaktu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
"Turut dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara.
"Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat. Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC," katanya di Facebook.
Perdana menteri berkata usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.
