KUALA LUMPUR: Seorang warga China yang menuntut di sebuah universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas teman wanita dan adik wanita itu bulan lalu.
Chen Jun, 20, didakwa menikam warga tempatan Leong Kai Ting, 21, dan adiknya Leong Shun Jie, 18, menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian di sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong, di sini, pada 5 pagi 29 Sept lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
"Bagaimanapun, jika mahkamah ingin membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan pada RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah."
Peguam Ling Yee Siew memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan kewangan dan tidak berisiko melarikan diri.
"Berdasarkan laporan perubatan hospital swasta bertarikh 14 Sept, anak guam saya mengalami kemurungan. Oleh itu, saya memohon jaminan rendah bagi membolehkan dia mendapatkan rawatan susulan berikutan kecederaan pada kaki akibat perbuatan sendiri ketika mengalami kemurungan."
Hakim Suhaila Haron membenarkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 11 Nov untuk sebutan kes.
Tertuduh hadir ke mahkamah hari ini dengan berkerusi roda.
