Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap mekanik yang mengaku bersalah cuba membunuh koperal polis dengan melanggarnya.
PETALING JAYA: Seorang mekanik dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan melanggarnya dalam kejadian berhampiran Damansara Damai, minggu lepas.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas Tan Teek Lai, 33, mengaku bersalah dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap 10 Okt.
Tan yang memandu kereta Proton Wira didakwa cuba membunuh Koperal Muhamad Firdaus Maulud dengan melanggar mangsa sehingga menyebabkannya patah tangan kiri di Jalan Sungai Buloh-Kepong, Damansara di sini pada 6.21 petang 9 Okt.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan mengesan kereta dipandu Tan dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkannya berhenti, namun dia enggan bekerjasama dan melarikan diri sehingga merempuh beberapa kenderaan orang awam.
Muhamad Firdaus cuba menarik keluar Tan yang dilihat memegang sepucuk pistol dari kenderaan, namun tindakan lelaki itu memecut semula kereta secara mengejut menyebabkan tangan kiri mangsa patah.
Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya menjadi pengajaran kepada Tan dan orang awam untuk tidak melakukan kesalahan sama.
“Kejadian ini bukan sahaja melibatkan anggota polis malah orang awam yang mengalami kerosakan kenderaan. Selain itu, perbuatan tertuduh adalah berbahaya kepada orang awam,” katanya.
Tan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjaga ibu bapa yang sudah uzur selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan memohon maaf kepada kesemua anggota polis terlibat.
