PETALING JAYA: Kesemua 242 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Perancis dilaporkan selamat susulan rusuhan dan protes yang melanda negara itu, kata pengerusinya Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf berkata pelajar berkenaan turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi kawasan awam yang terjejas akibat rusuhan.
“Alhamdulillah, status 242 pelajar tajaan Mara di Perancis selamat.
“Mereka turut diminta untuk sentiasa berwaspada serta mengelakkan kawasan-kawasan awam yang terbabit dengan rusuhan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Gelombang protes dan rusuhan dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah sejak September lalu sebelum memuncak di bandar utama termasuk Paris dan Milan, Itali, pada Sabtu.
Protes berkenaan tercetus susulan kemarahan berhubung isu kebajikan pelajar, kemerosotan perkhidmatan awam dan peningkatan kos sara hidup.
Di Perancis, pergolakan itu dilaporkan mencetuskan antara insiden keganasan bandar terburuk sejak beberapa tahun lalu.
Hampir 2,400 individu ditahan, manakala kira-kira 1,000 anggota polis dan pasukan keselamatan cedera, termasuk tujuh parah.
